Isnin, 15 Jun 2009

Kaitan Asma Dan Mengandung

Kaitan asma dan peluang mengandung

SOALAN

SAYA berusia 35 tahun dan suami berusia 36 tahun dan sudah berkahwin hampir 10 tahun.
Bagaimanapun, kami tidak dikurniakan cahaya mata. Untuk pengetahuan doktor, saya pernah keguguran pada 2005 pada waktu usia kandungan saya lima minggu. Sebelum berjumpa doktor, kandungan saya jatuh dengan sendirinya sewaktu berada di bilik air. Baru-baru ini, saya ada berjumpa pakar perubatan keluarga di hospital kerajaan.

Saya dan suami ada menjalani pemeriksaan bagi menentukan tahap kesuburan. Setelah menjalani pemeriksaan dan suami menghantar sampel air mani, kami berdua didapati tidak mempunyai masalah. Kedatangan haid saya juga normal. Saya sekarang berada dalam dilema kerana masih tidak boleh hamil walaupun dikatakan tidak bermasalah. Doktor yang memeriksa saya ada memberitahu pasangan yang berumur 35 tahun ke atas tidak digalakkan hamil. Saya juga mempunyai penyakit asma sejak kecil. Adakah ini punca saya tidak boleh hamil dan adakah asma itu boleh memudaratkan saya?MAHERAN, Johor Bahru, Johor

JAWAPAN
BERJUMPALAH dengan pakar kesuburan memandangkan usia perkahwinan anda. Di Johor Bahru, terdapat beberapa pusat kesuburan swasta. Usia yang semakin meningkat lebih menyukarkan peluang kehamilan, usahlah menunggu lebih lama lagi. Secara amnya, pasangan digalakkan hamil lebih awal kerana peningkatan usia dikaitkan dengan kesukaran hamil, keguguran, keabnormalan kromosom bayi misalnya sindrom Down, penyakit ibu sewaktu hamil seperti darah tinggi, masalah kandungan seperti uri bawah dan seumpamanya.

Ini memerlukan perbincangan lanjut dengan doktor anda. Bagi anda yang belum pernah mempunyai cahaya mata dan sudah melalui usia 10 tahun tempoh perkahwinan, anda boleh diberi rawatan bersesuaian. Kebanyakan pakar kesuburan bersedia merawat anda, namun anda juga harus bersedia menjalani rawatan bersesuaian agar peluang kehamilan dapat diperoleh secepat mungkin. Anda pula hendaklah bersedia menghadapi kemungkinan risiko ia berlaku pada diri anda. Selain itu, keadaan penyakit asma perlu dinilai. Jika asma peringkat ringan, pemeriksaan berterusan sewaktu kehamilan, kelahiran dan selepas kelahiran perlu dijalani. Penyakit asma tidak mengurangkan kesuburan wanita.