Isnin, 15 Jun 2009

Hubungan Sulit Ibu

Hubungan sulit ibu

SOALAN
IBU saya seorang yang baik. Namun masalah mula timbul apabila dia berkawan dengan suami orang. Ayah saya tidak mengetahuinya.
Yang menyebabkan saya marah ialah, ibu menelefon lelaki itu apabila ayah tiada di rumah. Mereka juga keluar bersama ketika ayah tiada. Pada mulanya saya hanya menganggap mereka kawan biasa.Ibu saya bersolek apabila mereka keluar bersama, tetapi tidak berbuat demikian apabila keluar dengan ayah. Ibu saya seakan-akan menjadi orang lain apabila bersama lelaki itu.Perangai ibu menyebabkan saya meluat dan marah.

Mengaku solat di masjid, mengaji dan segala-galanya, padahal dia tidak berbuat demikian.Bukan ingin mengutuk ibu saya, tetapi itulah hakikatnya. Malah, lelaki itu pernah datang ke rumah sewaktu ayah tiada. Depan ayah saya, dia jalankan tanggungjawab dengan baik.Namun mengapa harus ibu saya mengadu segala-galanya dengan lelaki itu? Pantang ayah tiada di rumah, pasti dia menelefon lelaki itu.Dia mengadu hal rumah tangga dan memburuk-burukkan ayah. Ayah tidak tahu ibu ada telefon bimbit (diberi oleh lelaki berkenaan).

Setiap kali mahu berbual, ibu masuk ke bilik.Saya bingung memikirkan perkara ini. Kami adik beradik malu dengan perbuatan ibu, tetapi tidak tahu sama ada perlu memberitahu ayah atau merahsiakannya.Malah, kami juga tidak tahu bagaimana hendak menegurnya. Perangai ibu membuatkan kami hilang rasa hormat padanya. Apa perlu dilakukan?BUNTUBangi Selangor

JAWAPAN
Isteri solehah mempunyai tanggung jawab wajib menjaga maruah diri bila ketiadaan suami. Isteri juga haram keluar bersama lelaki lain, apalagi tanpa izin suami. Inikan pula dengan lelaki bukan mahram.Yang jelas, ibu berlaku curang kepada ayah tanpa pengetahuan ayah. Perbuatan ini berdosa.Setiap kita mempunyai tanggung jawab mencegah kemungkaran dengan penuh hikmah apabila kita mengetahuinya.

Jika boleh, cuba anak bawa berbincang dengan ibu terlebih dulu supaya dia tahu helahnya diketahui dan jika dia tersasar, mungkin dia mahu bertaubat dan berpatah balik.Kerap juga berlaku wanita berkahwin mencari lelaki lain kerana ada masalah dengan suaminya daripada segi layanan rumah tangga dan hubungan suami isteri. Ibu mungkin tiada teman untuk mengadu sehingga dia mencari jalan salah.

Mengapa tidak anak memainkan peranan membetulkan keadaan sekarang dengan menegur ibu secara hikmah, mengingatkan dosa akan perbuatannya.Cuba anak dekati dan berkongsi apa sebenarnya masalah ibu. Anak yang soleh mesti membawa ibu semula ke pangkal jalan. Amat malang jika anak yang tahu masalah ibu mengambil langkah meminggirnya, apalagi hilang hormat.Yang penting, ibu sekarang mesti diselamatkan daripada terus bergelumang dalam dosa.